Tuesday, October 7, 2008

Skandal Susu Formula, Janji Manis dan Kembali kepada Fitrah

dipetik dari susuibu.com

oleh Nor Kamariah Mohamad Alwi <kamariah@susuibu.com>



Tragedi di Negara China yang melibatkan lebih 50,000 bayi dan anak kecil sungguh menyentuh perasaan. Krisis ini terjadi akibat kerakusan pengeluar produk berkenaan mencampurkan bahan kimia, melamine ke dalam rumusan makanan yang dikilangkan untuk tujuan meningkat bacaan kandungan protinnya secara buatan. Pengambilan bahan melamine dalam kuantiti yang tinggi boleh mengakibatkan kerosakan fungsi buah pinggang manusia dan juga kematian. Inilah yang berlaku apabila bayi dan anak kecil di Negara China mengambil susu formula yang mengandungi bahan ini dan kebanyakan mereka sedang terlantar sakit sekarang.



Apa yang menyedihkan, peristiwa ini bukanlah sesuatu yang baru. Pengeluar produk makanan dari Negara China sebelum ini telah melakukan kesilapan yang sama. Bezanya, ianya dilakukan ke atas makanan binatang peliharaan. Pada bulan Mei 2007 lagi, tembelang mereka mula pecah apabila lebih 14,000 ekor binatang peliharaan jatuh sakit dan 4,000 ekor pula mati akibat makanan binatang ini dicampur dengan melamine. Walaupun amaran telah diberikan, mereka telah bertindak lebih kejam dengan membuat percubaan ke atas makanan manusia pula terutama pada makanan bayi yang mengambilnya lebih dari 4 kali sehari.

Skandal di dalam industri makanan seperti ini terutama di dalam susu formula berlaku dengan teruk kerana setiap pengeluar produk bersaing untuk menghasilkan rumusan 'terbaik'. Masing-masing berlumba untuk mengeluarkan produk yang mengandungi pelbagai kandungan 'khasiat' yang tinggi yang nampak jelas apabila diuji dengan mesin sehingga sesetengahnya melampaui batas dengan mengetepikan isu keselamatan makanan itu sendiri. Di dalam tragedi ini, bahan kimia melamine yang biasanya digunakan di dalam pembuatan pinggan mangkuk telah digunakan untuk mengaburi bacaan mesin penganalisa dengan memberi bacaan protin yang tinggi sedangkan khasiat sebenar tidak ada, malah mengandungi toksik!



Itu yang berlaku di negara China. Di Malaysia, iktibar masih tidak diambil, malah syarikat pengeluar susu formula berlumba-lumba mempromosi jenama masing-masing di dada akhbar, di kaca televisyen, mengatakan produk mereka 'bebas' melamine. Pada hakikatnya setiap kali jenama produk berkenaan keluar di dada akhbar dengan lampiran berwarna-warni melebihi satu muka surat mereka telah mempromosi produk mereka, bukan hanya memberi kenyataan keselamatan. Cukuplah dengan 'senarai bersih' yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Tidak perlu memanjang lebar menceritakan kebaikan susu jenama keluaran mereka pula. Ini jelas telah melanggar etika!

Masih terngiang-ngiang lagi ikrar yang dilaungkan semasa pelancaran Buku Kod TataEtika Sempenan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu pada 1 Ogos yang lepas, kata mereka, akan sama-sama membantu memelihara promosi susu ibu. Malah di dalam satu Forum Perdana yang saya ikuti di PPUM, wakil pengilang susu formula mengatakan, mereka berbesar hati jika diberi peluang untuk turut serta mempromosi susu ibu. Jika benar jujur ikhlas kenyataan ini, sepatutnya, di dalam setiap kenyataan mengenai produk mereka 'bersih', harus ada sekurang-kurangnya sebaris ayat yang mengatakan 'Susu Ibu adalah pilihan terbaik.' Dengan ini barulah nampak yang mereka bukan ingin mempromosi jenama susu mereka tetapi sekadar ingin memberitahu yang produk mereka setakat ini masih selamat digunakan.



Isu skandal dan promosi yang melanggar etika akan sentiasa berterusan selagi manusia tidak kembali kepada fitrah. Manusia akan terus berlumba-lumba mengaut keuntungan tanpa menghiraukan isu keselamatan sejagat. Yang diutamakan, bagaimana untuk membuat jualan maksima setiap tahun, yang dibimbangkan bagaimana untuk menghabiskan stok produk yang telah dikeluarkan, bukannya keselamatan dan kemaslahatan pengguna.

Sempena Aidil Fitri ini, renungkanlah fenomena ini dan ambillah pengajaran. Kembalilah kepada fitrah, berikanlah anak anda sesuatu yang tabii, penyusuan susu ibu wajar diberi perhatian semula!